Wednesday, June 18, 2008

Puak-Puak yang Tersesat dalam Bab Sufi.

Kumpulan-kumpulan yang tersesat dan menyeleweng dari ajaran Islam yang
sebenarnya dalam bab Sufi pula terdiri daripada 13 puak yang besar antaranya :-

1. Kaum Marjiah.

Kepercayaan yang menjadi Ittikad dan pegangan kaum ini ialah apabila mereka beramal dan telah sampai ke tahap mereka telah menjadi kekasih Allah, iaitu apabila mereka telah
sampai ketahap tiada lagi benda lain yang mereka kasihi selain daripada Allah, maka pada tahap ini semua kewajipan syarak dan ibadat ke atas mereka telah digugurkan oleh Allah. Dalam keadaan ini segala yang haram telah menjadi halal bagi mereka. Segala kewajipan yang difardhukan seperti Solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya boleh di buat dan boleh
juga di tinggalkan mengikut sesuka hati mereka.

Kumpulan ini, sesetengahnya sangat suka bertelanjang dan tidak menutup aurat. Pada pegangan mereka semua harta di dunia ini adalah kepunyaan datuk mereka, iaitu Nabi Adam, jadi mereka sebagai cucu-cicit keturunan Nabi Adam, maka semua harta tersebut adalah halal bagi mereka mengambil dan menggunakanya walaupun tanpa kebenaran dan meminta izin dari tuannya yang sah terlebih dahulu.

2. Kaum Auliya’iyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak Auliya’iyah ini ialah apabila mereka telah sampai ke tahap dan martabat wali, maka terangkatlah semua kewajipan syarak keatas mereka. Pada tahap ini,
apa yang menjadi kewajipan keatas diri mereka sebagai hamba Allah seperti Solat, puasa dan
sebagainya tidak perlu lagi ditunaikan manakala apa-apa yang telah diharamkan oleh Allah keatas manusia telah menjadi halal bagi mereka, seperti berzina, mencuri dan sebagainya. Martabat mereka sebagai wali pula adalah lebih besar dan mulia daripada martabat Nabi.

3. Kaum Syamrakhiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah apabila sampai ke tahap-tahap tertentu, maka Allah telah menghalalkan bagi mereka perbuatan zina dan sebagainya dan mereka pula
akan berpura-pura warak apabila berada di khayalak ramai.

4. Kaum Ibahiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak Ibahiyah ini ialah mereka tidak sanggup menahan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang di larang oleh Allah dan mereka
juga tidak sanggup menyuruh manusia lain supaya melakukan kebaikan dan mereka juga menghalalkan zina kepada ahli kumpulan mereka.

5. Kaum Haliayah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini, mereka boleh melakukan perkara-perkara mungkar asalkan mereka boleh mendekatkan diri kepada Allah. Contohnya dalam melakukan zikir, mereka
akan menari-nari dan bertepuk tangan sambil berzikir. Ada yang pengsan dan mereka sandarkan semua perbuatan buruk mereka itu kepada Sunnah Rasulullah s.a.w yang perlu di ikuti oleh semua manusia lain.

6. Kaum Huriyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak Huriyah ini adalah lebih kurang dengan pegangan puak-puak Haliyah. Cuma apabila mereka pengsan itu, mereka berkata : " datanglah kepada kami
bidadari, maka kami setubuhi ia " Apabila sedar dari pengsan mereka akan pergi mandi junub.

7. Kaum Waqi’iyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah dan segala sifat-sifatNya, AsmaNya dan segala Perbuatan Allah tidak boleh di kenali. Hamba sama sekali tidak akan sampai kepada Makrifatullah.

8. Kaum Mutajalihiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini, bahawa mereka tidak boleh memakai pakaian yang baru dan bersih. Mereka juga suka melakukan perbuatan-perbuatan jahat dan suka kepada perempuan dan suka melakukan zina.

9. Kaum Mutakasiliyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah mereka tidak suka berusaha dan berikhtiar bagi mendapatkan makanan dan rezeki dari Allah. Mereka juga meminta-minta sesuatu daripada orang ramai dan memaksa orang ramai supaya memberi harta zakat dan sedekah kepada mereka.

10. Kaum Ilhamiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ilhamiyah ini ialah mereka mendakwa bahawa mereka selalu mendapat ilham ketuhanan. Mereka juga meninggalkan daripada mempelajari serta membaca Al-Quran, meninggalkan zikir dan segala selawat, kerana dakwa mereka bahawa Al-Quran itu
menjadi pendinding untuk mereka sampai kepada makrifatullah. Dengan itu mereka lebih suka menghafaz serta mempelajari bait-bait syair dan sebagainya.

11. Kaum Hululiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah menjelma dalam diri manusia dan dalam benda-benda lain di alam ini. Mereka juga mengharuskan ahli kumpulan mereka
memandang kepada perempuan-perempuan yang elok dan cantik serta memandang kepada lelaki
yang cantik paras rupa kerana pada pandangan mereka di situ terdapat Tajalli ( kebenaran yang diperlihatkan Allah ) ketuhanan. Mereka juga suka bersuluk ( mengasingkan diri untuk bertafakur ), melakukan zikir dengan bercampur antara lelaki dan perempuan sambil memeluk dan mencium wajah-wajah yang cantik, kerana pada wajah tersebut terdapat bekas Tajalli ketuhanan. Jika mereka mendapat anak dalam majlis tersebut, maka anak itu adalah
anak daripada Tajalli ketuhanan. Mereka juga boleh melakukan semua amalan dan amal ibadat hanya dengan menggunakan niat sahaja.

12. Kaum Wujudiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak Wujudiyah ini, sebenarnya adalah terdiri yang mulhid dan zindik semata-mata. ( Orang yang imannya telah terpesong dan tidak lagi percaya
kepada agama Allah yang sebenarnya ). Mereka mendakwa bahawa diri mereka dan zat Allah adalah sama. Kewujudan Allah itu pula adalah bertempat dan mempunyai masa-masa tertentu serta kewujudan Allah boleh di lihat dengan mata kasar manusia. Mereka hanya membahaskan tentang kewujudan zat-zat Allah mengikut khayalan pemikiran mereka semata-mata sahaja.

13. Kaum Mujassimah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah itu adalah berjisim dan berbentuk seperti mana manusia, iaitu boleh di rasa, boleh di lihat dan boleh di pegang. Kesimpulannya segala pegangan dan akidah serta Itikad dan pahaman puak-puak yang telah dinyatakan serba ringkas di atas adalah terang-terang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya, walaupun mereka masih mendakwa bahawa mereka adalah sebahagian daripada umat Islam. Sebenarnya puak-puak inilah yang telah merosakkan kesucian agama Islam. Mereka bukan sahaja sesat, malah telah menyesatkan orang-orang jahil yang lain, yang mengikut ajaran dan kumpulan mereka dengan tujuan untuk mendalami ajaran Islam. Pengikut-pengikut itu juga tersesat dan menjadi kafir bersama tok-tok guru yang mengembang dan mempertahan ajaran dan pegangan kumpulan tersebut. Mereka semua akan di humbankan ke dalam neraka oleh Allah di hari Akhirat kelak.

Sebagai seorang Islam yang cintakan kepada ajaran dan kesucian agama Islam, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada semua pertubuhan dan kumpulan yang sesat
tersebut dan mengikuti ahli dan kumpulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sahaja. Mungkin segala ajaran dan fahaman yang di pegang oleh kumpulan dan puak-puak tersebut adalah datangnya daripada ajaran dan bisikan puak-puak jin dan Syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar dan di redai oleh Allah. Semoga Allah melindungi kita semua daripada terjerumus ke dalam perangkap puak-puak tersebut.

No comments: